change to go on

FAKULTAS KEDOKTERAN UNIVERSITAS MUHAMMADIYAH MALANG
RSS

MYDYMARSITOON

ABSES GIGI



ABSES GIGI

bydiannyaaaon
Definisi
Abses gigi merupakan pengumpulan bahan-bahan yang dijangkiti (nanah) berpunca dari jangkitan bakteria di bahagian tengah (pulpa) gigi.
Penyebab, Kejadian dan Faktor Risiko
Abses gigi atau gigi bernanah sebenarnya adalah komplikasi kepada karies gigi. Ia juga boleh berlaku akibat trauma terhadap gigi (misalnya apabila gigi patah atau hancur). Enamel yang terbuka (berlubang) membenarkan kemasukan bakteria yang akan menjangkiti bahagian tengah (pulpa) gigi. Jangkitan boleh merebak dan akar gigi hingga ke tulang yang menyokong gigi.
Jangkitan menyebabkan berlakunya pengumpulan nanah (terdiri daripada tisu yang mati, bakteria yang telah mati atau masih hidup dan sel darah putih) dan pembengkakan tisu dalam gigi. Ini menyebabkan sakit gigi. Jika struktur akar gigi mati, sakit gigi mungkin hilang, tetapi jangkitan kekal aktif dan terus merebak dan memusnahkan tisu.
Gejala-gejala gigi bernanah
  • Sakit gigi.
  • Sakit gigi yang teruk dan berterusan
  • Sakit yang berdenyut-denyut.
  • Sakit ketika mengunyah.
  • Gigi terasa sensitif kepada air sejuk atau panas.
  • Rasa pahit di dalam mulut.
  • Nafas berbau busuk.
  • Mungkin demam.
  • Kelenjar leher bengkak.
  • Rasa tidak selesa, tidak sihat atau tidak tenang.
  • Bahagian rahang bengkak (sangat serius).
Komplikasi gigi bernanah
  • Gigi tercabut.
  • Jangkitan merebak hingga ke tisu lembut (selulitis fasial, angina Ludwig).
  • Jangkitan merebak ke tulang rahang (osteomielitis mandibel atau maksila).
  • Jangkitan merebak ke bahagian badan yang lain menyebabkan abses serebrum, endokarditis, pneumonia atau gangguan gangguan lain.
Langkah penjagaan sendiri
  • Untuk meredakan kesakitan, ambil ubat penahan sakit.
  • Jangan meletakkan serbuk aspirin di atas gigi. Aspirin akan melecurkan gusi dan memusnahkan enamel gigi.
  • Jangan minum minuman yang terlalu panas atau sejuk.
  • Jangan mengunyah gula-gula getah.
  • Elakkan makanan yang manis, pedas dan berempah. Diet dalam bentuk cecair mungkin perlu untuk 1 atau 2 hari sehingga kesakitan mulai hilang.
  • Berkumur dengan air garam suam setiap satu jam.
  • Berjumpalah doktor gigi walaupun sakit telah beransur-ansur reda.
Rawatan
Tujuan utama rawatan adalah untuk menyingkirkan jangkitan, mengekalkan gigi dan mencegah komplikasi. Antibiotik boleh diberi untuk melawan jangkitan.
Berkumur dengan air garam suam dapat melegakan kesakitan. Ubat analgesik yang diperolehi dari kedai mungkin dapat meredakan sakit gigi dan demam. Jangan meletakkan aspirin betul-betul di atas gigi atau gusi kerana ia akan menambahkan kerengsaan pada tisu dan boleh mengakibatkan ulser mulut.
Pembedahan akar gigi mungkin disyor untuk mengekalkan gigi. Bahagian gigi yang rosak akan ditanggalkan bersama-sama bahagian tengah gigi termasuklah tisu saraf dan vaskular. Manakala bahagian akar dan permukaan gigi dikekalkan. Rongga yang terbentuk di dalam teras akan diisikan dan dibaiki. Bahagian atas gigi kemudiannya akan disalutkan dengan bahan penampal. Eksisi (penyaliran melalui pembedahan) bahagian yang bernanah atau mencabut gigi yang rosak mungkin perlu dilakukan.
Berjumpalah doktor sekiranya….
Anda menghadapi satu atau lebih masalah berkaitan sakit gigi seperti yang disenaraikan di bawah ini:
  • Sakit yang berdenyut-denyut atau berterusan.
  • Demam.
  • Sakit telinga.
  • Leher atau rahang yang sakit bila disentuh atau kelenjar yang bengkak di bahagian gigi yang sakit.
  • Merasa tidak sihat.
  • Nafas berbau dan/atau rasa pahit di dalam mulut.
no posts

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 komentar:

Posting Komentar

SEMOGA BERMAFAAT